Status hijau bukan jaminan selamat

SIBU: Penduduk di sini diingatkan supaya terus berada di rumah jika tidak ada keperluan untuk keluar.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee berkata, meskipun Sibu masih berstatus hijau, tidak bermakna ia memberi jaminan selamat.

“Jika keluar patuhilah prosedur operasi standard (SOP), misalnya gunakan pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya. “Kita tidak mahu kesilapan tidak mematuhi SOP menjadi punca jangkitan wabak pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Program ‘Goohet Santai’ sempena sambutan Maulidur Rasul 1442/2020 di sini baru-baru ini.

Program tersebut adalah anjuran bersama Pusat Khidmat Dun N55 Nangka dan Goohet Cycling Club. Seramai 100 peminat sukan berbasikal menyertai program tersebut yang turut disertai oleh Dr Annuar.

Kayuhan bermula di Pelangi Foodkiosk Kampung Nangka, Sibu membabitkan kayuhan sejauh 10 kilometer. Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu turut menyarankan agar penduduk Sibu agar tidak mengunjungi Bahagian Kuching buat masa ini jika tiada keperluan.

“Saya harap penduduk Sibu terus mematuhi PKPP dan jalani kehidupan norma baharu bagi memastikan Covid19 dapat dibendung sepenuhnya,” kata Adun Nangka itu.

Sementara itu, jelasnya, tiada program perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul di sini pada Khamis lalu. Justeru, katanya lagi, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program berbasikal ini sebagai usaha memeriahkan sambutan Maulidur Rasul dengan norma baharu.

“Jadi kita adakan program ini secara santai dengan penyertaan peserta daripada kalangan penduduk tempatan. “Dengan cara ini juga kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta, dalam masa yang sama mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujar beliau.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak