SUFC buru import hebat

SETELAH gagal menyerlah musim 2020, skuad Sarawak United FC (SUFC) berhasrat untuk mengambil pemain import tempatan dan asing yang benar-benar hebat bagi membentuk kekuatan skuad 2021.

Penolong pengurus SUFC, Abang Fomay Abang Sa’adeli menjelaskan pemain import tempatan berkualiti amat penting, terutama di beberapa posisi yang diperlukan.

“Insya-Allah saya akan ajukan cadangan tersebut kepada pihak pengurusan atasan. “Kalau kita lihat sepanjang musim 2020, hanya bekas pemain Malaysia, Amri Yahyah yang menyerlah, berbanding import tempatan yang lain,” kata Abang Fomay.

Menurutnya, SUFC perlu mendapatkan dua atau tiga lagi pemain import tempatan berkualiti untuk digandingkan dengan Amri.

“Saya percaya, ia pasti akan menghadirkan kekuatan tambahan pasukan SUFC musim depan,” ujarnya.

Mengenai prestasi pemain tempatan pula, Abang Fomay menjelaskan, ia cukup memuaskan.

“Kita akan mengekalkan semua atau sebahagian besar pemain tempatan untuk terus berkhidmat dengan pasukan, seperti yang dikehendaki pihak pengurusan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais mahu semua pemain tempatan dikekalkan, di samping hanya mengambil import tempatan yang berkualiti sahaja.

Malah beliau juga mahu import asing yang benar-benar bagus, mampu membantu pasukan.

“Kita akan membentuk pasukan 2021 dengan 80 peratus pemain tempatan kita… dan kita hanya akan pilih import yang bagus sahaja,” ujar Posa.

Suara Sarawak