Terima kasih Tuan Dev!

KUCHING: Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Hairdudin Che Hamid akan memangku jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi menggantikan timbalan pesuruhjaya sebelum ini, Datuk Dev Kumar. Dev akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau mula berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada Julai tahun lalu menggantikan Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim. Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini pada Rabu.

Berucap pada majlis itu, Aidi mengucapkan terima kasih kepada Dev atas jasa dan bakti sepanjang perkhidmatannya bersama pasukan kontinjen Sarawak.

“Banyak kejayaan yang beliau capai. Terima kasih atas kepimpinan dan kemampuannya membanteras jenayah. “Pertukaran beliau sebagai Timbalan Pengarah Risikan Operasi sesuai dengan pengalaman beliau dalam bidang siasatan jenayah ini,” katanya.

Terdahulu Dev berkata, walaupun tempoh memegang jawatan itu singkat namun beliau berasa bangga kerana mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada seluruh polis di negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ketua jabatan, ketua polis daerah serta semua peringkat pegawai dan anggota atas sokongan kepada saya selama ini.

“Segala jasa dan budi kalian akan sentiasa dikenang dan disemat di hati saya. “Saya harap kerjasama yang sama diberikan kepada pemangku SAC Hairudin dan timbalan pesuruhjaya polis baharu nanti,” katanya.

Dev juga berharap, Sarawak kekal aman damai dan masyarakat hidup dalam keadaan harmoni serta sentiasa berasa dalam keadaan selamat.

Suara Sarawak