Tidak mungkin khianati negeri

KUCHING: Kerajaan GPS menggesa agar hanya anak Sarawak dibenarkan menjadi Adun dalam Dun dan bertanding dalam PRN Sarawak. Adun Jemoreng Datuk Juanda Jaya berkata, perkara tersebut merupakan hasrat dan niat GPS yang jelas menerusi Pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak 2020.

“Ini sifat Kerajaan GPS yang sentiasa mengutamakan Sarawak dan sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi melindungi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Ia juga merupakan tujuan sebenar pindaan ini, bukan seperti tuduhan jahat gabungan DAP dan PSB yang juga suka melompat… membuat kesimpulan tanpa mendengar penerangan balas oleh Adun Asajaya (Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi debat Pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak 2020 pada Persidangan Dun, semalam.

Tambahnya, Kerajaan GPS berpegang kepada slogan Utamakan Sarawak dan tidak mungkin mereka akan mengkhianati negeri ini.

“GPS juga tidak mungkin menjual Sarawak, bahkan kami (GPS) sanggup mati untuk negeri ini. Disebabkan itu juga kami berani berdiri sendiri sebagai parti Sarawak.

“Kita tidak seperti DAP yang masih mempunyai ibu Pejabat di Malaya. Adakah mereka malu untuk bertuankan orang Sarawak sendiri?” soalnya tegas.

Beliau menjelaskan, selain mahu mencalonkan anak Sarawak dalam pilihan raya, mereka juga perlu memastikan parti yang digunakan adalah parti Sarawak dan bukan parti residen di Malaya.

“GPS memperjuangkan autonomi Sarawak dan berusaha sebaik mungkin untuk menghalang orang luar mendapat keistimewaan eksklusif untuk orang Sarawak seperti beramal menjadi peguam,” jelasnya yang juga menyokong pindaan tersebut.

Beliau yang menyokong pindaan itu juga berkata, ia selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang meletakkan hak eksklusif rakyat Sarawak berkaitan dengan pelbagai urusan negeri ini.

“Pindaan ini akan memastikan hanya yang memiliki hubungan dengan Sarawak atau DNA Sarawak dapat menjadi ahli dewan yang mulia ini.

Hanya mereka yang mempunyai kaitan darah dan roh dengan Sarawak, yang lahir di sini, yang tinggal di sini secara lazimnya, pasti setia dengan negeri ini dan tahu keperluan negeri ini, bukan yang lain.

“Pindaan ini pasti mengukuhkan lagi autonomi Sarawak dan memperkukuhkan semangat MA63,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak