Tunggu hingga tamat PKPB

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) mengeluarkan notis kelonggaran penetapan had bilangan jemaah bagi semua aktiviti pengimarahan termasuk solat Jumaat termasuk solat lima waktu bagi semua masjid dan surau di daerah Kuching.

Notis arahan tersebut berkuat kuasa mulai 19 November ini hingga diisytiharkan Perintah Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIS semalam, kelonggaran tersebut dilaksanakan susulan wabak Covid-19 dan Perintah PKPB di Daerah Kuching.

“Oleh itu, MIS memutuskan agar had jemaah yang dibenarkan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau hendaklah tidak melebihi 100 orang dengan penjarakan fizikal.

“Namun, ia berbeza dengan Masjid Jamek Negeri Sarawak kerana ia dibenarkan untuk tidak melebihi 200 orang jemaah,”katanya.

Selain itu, bagi aktiviti pengimarahan seperti ceramah, kuliah dan bacaan al-Quran ia hanya dibenarkan bagi tempoh antara Maghrib hingga Isyak mengikut had ditetapkan.

“Bagi jamuan makan di dalam masjid dan surau adalah tidak dibenarkan dan digalakkan untuk menyediakan makanan berbungkus untuk dibawa balik.

“Gugur tuntutan wajib mengerjakan solat Jumaat bagi sesiapa yang tidak memperolehi kuota jemaah solat Jumaat.

Sebaliknya hanya wajib menunaikan solat Zohor sebanyak empat rakaat,”jelasnya.

Jelas MIS juga, semua jemaah perlu mematuhi garis panduan pengimrahan masjid atau surau semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh Negeri Sarawak.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak