Utamakan pekerja tempatan

KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat supaya pekerjaan mereka tidak terjejas dalam tempoh penularan Covid-19, kata Menteri Muda Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip (gambar).

Sehubungan itu beliau berkata, pelbagai program digubal oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan pekerjaan terutamanya bagi siswazah yang menganggur.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan pekerja tempatan dalam membuka peluang pekerjaan di setiap peringkat dan sektor.

“Syarikat dan perusahaan yang beroperasi di Sarawak dikehendaki memberi keutamaan kepada rakyat tempatan yang layak untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

“Bagi syarikat yang ingin mengambil pekerja asing, mereka perlu mengutamakan rakyat tempatan melalui iklan di surat khabar atau portal kerjaya.

“Sekiranya tiada sambutan daripada rakyat tempatan, barulah syarikat berkenaan dibenarkan untuk mengambil pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Aidel Lariwoo (GPS-Sadong Jaya) mengenai usaha Kerajaan Sarawak membantu mengekalkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak yang mempunyai kepakaran tertentu pada Persidangan Dun di sini pada Isnin.

Talib menambah, usaha tersebut disokong melalui pelbagai program karnival kerjaya yang dianjurkan dari semasa ke semasa bagi membantu memudahkan pekerja tempatan mencari dan memohon peluang pekerjaan.

“Pada 2019, sebanyak 14 program karnival kerjaya dianjurkan dengan jumlah penyertaan oleh 252 majikan dan 15,427 kekosongan jawatan ditawarkan.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga September, sebanyak 13 program karnival kerjaya diadakan dengan penyertaan oleh 90 majikan dan 13,863 kekosongan jawatan,” jelasnya.

Suara Sarawak