TERIMA kasih kerajaan, kerana mendengar isi hati rakyat. Ia antara kata-kata pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gembira apabila permintaan mereka ditunaikan.

Keputusan meluluskan pengeluaran sehingga RM10,000 melalui pengeluaran i-Sinar disambut dengan gembira oleh pencarum.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Program i-Sinar KWSP diperluaskan kepada semua ahli yang menghadapi masalah kewangan.

Untuk rekod seramai 8 juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000.

Ini berbeza sebelum ini, hanya 600,000 yang boleh mengeluarkan wang.

Apa yang pasti pengeluaran mampu mengurangkan beban ekonomi individu yang terjejas terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian.

Selain itu, ada pencarum menggunakan dana yang dikeluarkan itu sebagai modal perniagaan.

Had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Pengeluaran wang Akaun 1 KWSP membuktikan kerajaan memahami kepayahan yang dihadapi rakyat ketika penularan Covid-19 sekarang.

Kita berharap pencarum menggunakan wang secara berhemah dan tidak terlalu boros.

Objektif KWSP adalah untuk membantu pekerja memiliki simpanan hari tua.

Jangka hayat rakyat Malaysia meningkat kepada 77 tahun (lelaki) dan 79 tahun (wanita).

Persaraan wajib ialah pada usia 60 tahun. Kita harus sedar tempoh tersebut, wang persaraan amat perlu untuk kegunaan hari tua.

Oleh itu, pastikan ada ‘payung’ sebagai persiapan untuk menghadapi musim ‘hujan’ nanti.

Berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah merupakan langkah terbaik untuk menghadapi hari tua. Ia bukan hanya untuk keperluan harian, tetapi juga kos untuk perubatan, maklumlah pada usia senja nanti, macam-macam penyakit boleh muncul.

Bagi mereka yang mempunyai anak yang sudah bekerja, mungkin bebanan kewangan agak kurang.

Tetapi lebih baik membuat persiapan awal, tanpa terlalu mengharapkan bantuan anak-anak.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias telah menjelaskan, supaya pencarum harus menjadikan pengeluaran caruman KWSP Akaun 1 sebagai langkah terakhir sekiranya ada kaedah lain bagi membantu kekangan kewangan, wajar diambil perhatian positif.

Kemudahan pengeluaran hanya langkah menyokong pendapatan isi rumah, bukan punca pendapatan utama.

Apa yang penting pencarum harus berhati-hati apabila berbelanja dengan wang RM10,000 dan jangan terlalu boros.

Yang pasti, pengeluaran Akaun 1 KWSP membolehkan suntikan ekonomi akan berlaku melalui perbelanjaan dan merangsang semula ekonomi negara yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.