KUCHING CITY FC menambat jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, 69, untuk mengemudi pasukan bagi menghadapi musim 2021 dengan kontrak setahun berkuat kuasa semalam.

“Syukur alhamdulillah beliau bersetuju dan yakin dengan perancangan, hala tuju dan sasaran kita,” kata Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman dalam sidang media di pejabatnya.

“Kami bangga dan teruja untuk bekerjasama dengan beliau. Saya percaya pengalaman yang ada padanya akan membantu Kuching City FC pada tahap yang lebih baik,” ujarnya.

Menurutnya, Irfan turut tertarik dengan tiga falsafah Kuching City FC yang memberi penekanan kepada kelebihan, kelemahan dan sasaran untuk musim depan.

“Namun kami berpegang kepada faktor kerjasama, keikhlasan dan tiada sesiapa pun yang lebih besar daripada Kuching City FC itu sendiri,” dedah Fazzrudin.

Menurut beliau, pada awalnya mereka mahu melanjutkan kontrak Akira untuk terus mengemudi Kuching, namun jurulatih muda dari Jepun itu menolak tawaran.

Yang pasti, pengumuman Irfan sebagai jurulatih baharu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana akhbar ini beberapa kali membuat laporan tentang Irfan.

Irfan pernah menonton aksi Kuching FA-Sarawak United FC di Stadium Negeri pada Oktober lalu bersama-sama penolong pengurus Kuching FA, Iswandy Ali Hassan.

Irfan merupakan antara jurulatih berkaliber di Malaysia yang pernah menjuarai Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super bersama beberapa pasukan.

Antara pasukan ternama yang dibimbing beliau ialah Terengganu, Pahang dan kelab Liga Utama Indonesia, Persipura Jayapura.

Hadir sama pada sidang media semalam ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Naib Presiden KDFA, Ahmad Zaki Zaidi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan dan ketua pasukan, Joseph Kallang Tie.

PROFIL IRFAN BAKTI

NAMA PENUH: Irfan Bakti Abu Salim

TARIKH LAHIR: 1 April 1951

USIA: 69 tahun

ASAL: Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

POSISI: Tengah

PENGALAMAN: Membimbing Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, P. Pinang, Melaka, Perlis, Felda United FC dan kelab ternama Indonesia, Persipura Jayapura.

PENCAPAIAN: Juara Piala FA 2011 bersama Terengganu, juara Piala Sumbangsih bersama P. Pinang pada 2003, naib juara Piala Malaysia 2011 bersama Terengganu, naib juara Liga Super 2001 bersama P. Pinang, naib juara Liga Super 2011 dan 2018 bersama Terengganu, naib juara Liga Super 2016 bersama Felda United. Naib juara Piala FA 2000 bersama P. Pinang, naib juara Piala FA 2014 bersama Felda United.

ANUGERAH PERIBADI: Jurulatih Terbaik 2011.