SEBAUH: Lokasi kereta yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kemena, malam tadi telah dikenal pasti kedudukan pada jarak 150 kaki dari tebing dermaga JKR Sebauh.

Namun, atas faktor keselamatan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson telah mengarahkan agar operasi penyelaman dilakukan hari ini (Selasa).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat(SAR) ditangguhkan pada jam 11.59 malam tadi.

Menurutnya, Pos Kawalan Bomba (PKTK) juga telah dibuka berdekatan dermaga berkenaan dengan menempatkan empat anggota dalam keadaan siap siaga.

Pos Kawalan Bomba dibuka berhampiran dermaga JKR Sebauh untuk operasi mencari dan menyelamat.

Malah, katanya, bot penyelamat juga disediakan untuk pemantauan secara surface di lokasi berkenaan.

SAR kenderaan dan mangsa turut melibatkan tujuh anggota polis, masing-masing empat anggota Angkatan Tentera Malaysia, RELA dan penduduk kampung bersama sebuah bot.

Dalam kejadian 8 malam semalam, sebuah kereta dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kemena berhampiran dermaga JKR Sebauh, di sini.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam semalam.

Sementara itu, menurut saksi, berkemungkinan mangsa masih berada di dalam kereta tersebut.

Namun tidak dapat dipastikan bilangan mangsa dan jenis kenderaan terlibat.