KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuching berjaya menyelamatkan seekor kucing terperangkap di belakang sebuah papan tanda sebuah klinik di Jalan Matang, di sini, hari ini.

Kucing berwarna jingga itu pada awalnya dilihat tersangkut di ruang belakang papan tanda dan terperangkap mendapat perhatian netizen yang berada di lokasi kejadian.

Mengesahkan kejadian, Ketua Asto 01 APM Kuching, KPL (PA) Romelo Richard berkata seramai tiga anggota telah dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan kes daripada pihak awam mengenai kucing berkenaan sekitar jam 8.46 pagi.

Menurutnya, anggotanya terpaksa menggunakan tangga aluminium serta mengenakan helmet operasi bagi menjangkau kucing tersebut berikutan papan tanda itu berada di atas premis.

“Anggota berjaya menurunkan kucing tersebut dan seterusnya bergerak balik ke pejabat sekitar jam 10.12 pagi.

“kesemua petugas selamat dan logistik dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.