KUCHING: Sarawak mencatatkan sejumlah 334 kes virus kurang imun manusia (HIV) setakat Oktober tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 198 kes adalah jangkitan baharu HIV dengan 87 peratus melibatkan lelaki, manakala 13 peratus lagi wanita. 

“Sementara itu, jumlah kematian di negeri untuk tempoh yang sama adalah seramai 51 kes,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini. 

Ujarnya, kes jangkitan HIV di negeri telah mencatatkan penurunan 11 peratus atau 41 kes berbanding 375 kes untuk tempoh yang sama bagi tahun 2019.

Penyumbang terbesar kes HIV pada tahun 2019 adalah daripada golongan lelaki iaitu sebanyak 90 peratus dengan kebanyakan daripada golongan belia yang berumur diantara 20 hingga 39 tahun. 

Untuk rekod, 1 Disember merupakan Hari AIDS Sedunia dan ia disambut setiap tahun di seluruh dunia dengan tujuan memperingati pesakit yang mati disebabkan AIDS dan memperbaharui tekad untuk mengakhiri epidemik itu di dunia.

Pada tahun ini, program Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan HIV/AIDS telah memilih ‘Solidariti Sejagat, Tanggungjawab Bersama’ sebagai tema sambutan. 

Di Malaysia, jumlah kes HIV telah menurun lebih 50 peratus pada 2019 daripada 6,978 kes pada 2002, manakala kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak berjaya dikekalkan di bawah dua peratus.