KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan bersama Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (Sesa) menganjurkan Myss Youth Stay At Home Esports Xtive Challenge sempena sambutan Hari Belia Negeri Sarawak pada 5 November ini.

Menurut Sesa, pertandingan itu diadakan secara dalam talian selama empat minggu bermula 4 Disember ini sehingga 27 Disember.

Katanya, pertandingan e-sukan itu terbuka khas untuk belia Sarawak yang berumur 40 tahun ke bawah.

Jelasnya, permainan yang akan dipertandingkan ialah PUBG Mobile dan dijangka disertai seramai 1,200 belia atau 240 pasukan.

“Konsep pertandingan kali ini berbeza dan penganjur akan membahagikan perlawanan kepada tiga gelanggang dan pasukan terbaik mara ke peringkat akhir pada 25 hingga 27 Disember ini.

“Pemenang akan memenangi wang tunai dan berpeluang untuk mewakili Sarawak pada kejohanan seterusnya tahun hadapan,” katanya.

Tambah Sesa, penganjuran kali ini juga diselitkan dengan program webinar e-sukan bagi memberi pendedahan mengenai peluang yang boleh diceburi oleh belia dalam industri dan mengenai permainan yang sihat.

Katanya, program tambahan ini disampaikan beberapa panel yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang e-sukan.

Borang pendaftaran boleh didapati melalui link GoogleForm yang akan disiarkan di laman Facebook Sarawak Esports Association pada 2 Disember.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Adi +6019 4514529 atau di link Discord Kaunter Pertanyaan SESA https://discord.gg/ uHn6dB96pR