KUCHING: Fokus utama Sarawak Energy adalah untuk membekalkan tenaga elektrik ke seluruh Sarawak sepanjang pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, dalam keadaan krisis, penting untuk bertindak pantas dan cepat dalam menyesuaikan diri.

Menurutnya, matlamat Sarawak Energy untuk berkembang sebagai pembekal dan membangunkan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini tidak pernah berubah walaupun terdapat perubahan dari segi mekanisme dan kaedah disebabkan sekatan pergerakan.

“Pandemik ini juga merupakan pemangkin perubahan kepada cara kami menjalankan perniagaan. Ia telah memacu aspirasi kami untuk menjadi utiliti digital menjelang 2025 serta peralihan kepada pengaturan kerja yang fleksibel.

“Kami melakukan transformasi dalam mengubah cara kami bekerja untuk kekal cekap dengan mempelajari untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat sumber yang sama,” jelasnya pada Sidang Kemuncak Kelestarian Koporat GO ESG Asean 2020.

Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk Corporate Leadership for the Asean We Want yang dikendalikan oleh Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Hubung Strategik Nitin Jaiswal di Bloomberg LP, Asia Pasifik.

Sharbini menambah, Sarawak Energy memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan sambil mengurangkan jumlah kakitangan di lapangan.

Jelas beliau, langkah tersebut telah menghasilkan beberapa manfaat sekunder dan menunjukkan pengurangan pengeluaran karbon di ibu pejabat berikutan pengurangan pergerakan.

Sharbini turut memberitahu, pembangunan tenaga hidro yang boleh diperbaharui dan berpatutan di Sarawak menyokong kepelbagaian penggunaan tenaga alternatif seperti solar dan hidrogen.

“Sarawak Energy melabur dalam pelan solar terapung skala besar yang pertama di Batang Ai. “Sementara penyelidikan kami dalam hidrogen dan kerjasama dengan Petronas akan membolehkan kami menyertai aktiviti rantaian nilai hidrogen akan datang.

“Seterusnya menyumbang kepada kelestarian tenaga, mengurai sistem tenaga dan menambah apa-apa yang telah dilakukan melalui tenaga hidro untuk membekalkan tenaga yang bersih, boleh diperbaharui dan berpatutan untuk Sarawak,” ujarnya.

Bercakap pada majlis penutupan sidang kemuncak selama dua hari tersebut, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon berkata, Sarawak Energy merupakan syarikat pertama di Malaysia yang menandatangani kempen Business Ambition for 1.5°Celsius.

Katanya, kerjasama dengan Kompak Global PBB Malaysia dan Brunei dalam melancarkan alat untuk Matlamat Pembangunan Lestari Perusahaan Kecil Sederhana (SME-SDG) menunjukkan kepimpinan korporat yang baik dan usaha terpuji untuk mengerakkan pemain kelestarian SDG 17.