KUCHING: Isu perkahwinan dan perceraian di negeri ini merupakan salah satu fokus Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak berhubung isu sosial di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah mengambil maklum mengenai statistik perkahwinan dan perceraian yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara baru-baru ini.

‘’Menyedari mengenai statistik yang meningkat, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak bersama Lembaga Perancang Keluarga Negara mengadakan program yang memantapkan institusi keluarga,” katanya pada pemberita selepas melancarkan produk CantiKK@HG di Auditorium Seri Sarawak di Penjara Negeri Sarawak semalam.

Fatimah berkata, program dilaksanakan itu memberi tumpuan kepada pasangan berkahwin beragama Islam dan bukan Islam serta menyasarkan pada pasangan muda dan pasangan yang lama berkahwin bagi memastikan perasaan kasih dan sayang itu dapat dihidupkan semula seperti pada mula berkahwin dahulu.

Jelasnya, pasangan muda perlu melalui proses adaptasi antara satu sama lain bersama-sama keluarga besar mereka.

Tambahnya, perceraian berlaku disebabkan oleh masalah kewangan serta masalah ekonomi yang dihadapi pasangan.

Selain itu katanya, perceraian disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dan substan yang menjerumus kepada keganasan rumah tangga.

Justeru, kata Fatimah, isu perceraian di negeri ini perlu ditangani secara holistik dan bersepadu oleh agensi kerajaan.

“Kita perlu memastikan institusi kekeluargaan ini dimantapkan dan terdapat kemahiran komunikasi perlu dikuasai oleh pasangan.

“Komunikasi amat penting kerana terdapat cara untuk meluahkan perasaan supaya hubungan itu sentiasa kekal,” ujarnya.