KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat kajian secara komprehensif untuk melihat kesan dan impak pembelajaran dalam talian terhadap minat para pelajar.

Presidennya Ahmad Malie berkata, disebabkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini sudah berjalan dalam beberapa bulan adalah wajar untuk KPM membuat kajian dengan instrumen yang sesuai.

“Kami (KGBS) mengharapkan agar kajian tersebut dapat membantu KPM dalam menambah baik kaedah pembelajaran yang sesuai ekoran pandemik Covid-19.

“Hasilnya juga boleh dibincangkan dengan pihak berkaitan seperti KGBS, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan pendidikan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya, perkara tersebut juga penting untuk mengenal pasti impak terhadap pembelajaran dalam talian kepada para pelajar ketika keadaan Covid-19 masih seperti ini.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak pembelajaran dalam talian kerana ini merupakan satu kaedah yang membantu para guru memantau pelajar untuk terus mengikuti proses pembelajaran tanpa ada yang tercicir.

“Sehubungan itu, pembelajaran dalam talian ini sudah pasti mempunyai kekangan tertentu kerana bergantung dengan keupayaan capaian Internet dan gajet,” tegasnya.