SIBU: Dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas motosikal mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Tanjung Manis dekat sini, hari ini (Khamis).

Jurucakap dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 4.24 petang.

Menurutnya, BBP Sibu Sentral juga turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi bantuan lanjut.

“Anggota bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan memberikan rawatan awal dengan memasang kolar serviks, sebelum seorang mangsa dihantar menaiki ambulans EMRS Bomba ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu, seorang lagi mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sibu sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Jelasnya lanjut, anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kembali ke balai masing-masing setelah memastikan keadaan selamat untuk pengguna jalan raya.

Agensi lain yang terlibat termasuk polis trafik dan polis peronda.

NGERI…Paramedik ketika memeriksa keadaan seorang mangsa di tempat kejadian.

 

SIASAT…Pihak bomba ketika membantu polis trafik menyiasat kemalangan tersebut di tempat kejadian.