KUCHING: Gas Cecair Petroleum (LPG) milik Petros akan diperkenalkan di setiap rumah rakyat Sarawak dan sektor perniagaan dan industri mulai tahun 2021.

Pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo berkata, gas memasak tersebut akan mula diperkenalkan di bandar raya ini dan Kota Samarahan seterusnya diperluaskan di seluruh negeri ini pada 2022.

Kata Hamid, Petros berbesar hati menjadi sebahagian hidangan oleh keluarga yang berkumpul dan memasak di rumah.

“Kita membantu rakyat Sarawak dengan bahan bakar memasak yang bersih, lebih cekap dan selamat,” ujarnya pada Majlis pelancaran Gas Petros LPG di Kubah Ria semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, sepanjang tahun ini, Petros membekalkan gas kepada lebih 25,000 isi rumah melalui grid gas paip Petros yang dikendalikan oleh Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd.

Tambah beliau lagi, lebih 1,500 sektor perkhidmatan dan industri komersial dibekalkan gas melalui Sistem Pengedaran Gas di Bintulu dan Miri.

Beliau berkata, Petros amat menekan aspek keselamatan dalam pengendalian produk mereka.

“Dalam apa jua yang kami lakukan, keselamatan menjadi keutamaan dan kami mengharapkan komitmen yang sama daripada rakan dan pembekal dalam memastikan penggunaan selamat gas memasak Petros.

‘Kami lakukan ini melalui dorongan dan pendidikan untuk mempromosikan amalan pengendalian baik di tempat selamat dan penggunaan produk kami,” katanya.

Beliau memberitahu, pelaburan dalam pengeluaran LPG domestik daripada aset minyak dan gas Sarawak ini akan mengurangkan kebergantungan pada mengimport LPG.

Selain itu kata Hamid, melalui kerjasama rakan rantaian pembekal, ia akan membantu memberi harga yang saksama kepada pelanggan.

“Kawasan pedalaman di Sarawak mungkin berdepan dengan isu harga untuk bahan bakar memasak.

“Penyelarasan harga cabaran bagi kita semua sebagai pemain industri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua atas sokongan kepada Petros selama ini.