JURULATIH baharu, Irfan Bakti Abu Salim, 69, berazam untuk mengemudi Kuching City FC naik ke Liga Super 2022.

Walaupun menyedari ia sebagai tugas yang cukup berat, namun beliau percaya kelab ternama Bumi Kenyalang ini mampu melakukannya.

“Naik ke Liga Super 2022 merupakan misi awal saya. Dengan adanya sokongan dan kerjasama padu semua pihak akan direalisasikan,” kata Irfan yang dihubungi Suara Sarawak.

Ketika ditanya mengenai tawaran Kuching City FC, beliau menjelaskan; “Saya mula tertarik dengan pasukan ini ketika menyaksikan perlawanan Kuching FA-Sarawak United FC di Stadium Negeri pada 12 September lalu.”

Ketika itu, Irfan dijemput pihak pengurusan Kuching FA, dan kehadiran beliau menjadi tumpuan ramai.

Pelantikan Irfan diumumkan oleh Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman pada sidang media di Kuching Selasa lalu.

Beliau akan memulakan tugas secara rasmi dua minggu lagi selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari.

Sebelum ini, Irfan turut menjadi buruan Negeri Sembilan, dan beberapa pasukan dari Semenanjung, termasuk pasukan Liga Super.

Beliau merupakan jurulatih berpengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia dan pernah mengemudi Terengganu menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Malah beliau turut mengemudi tiga pasukan muncul naib juara Lga Super iaitu Terengganu, Felda United dan Pulau Pinang.

Beliau juga pernah membimbing pasukan Selangor dan kelab ternama Indonesia, Persipura Jayapura.

Skuad Kuching FA memulakan sesi latihan petang Rabu lalu sebagai rangka persiapan awal. Mereka akan mengadakan siri jelajah Sarawak mulai 8 Disember ini hingga 21 Disember.

Mereka menentang Sri Aman pada 8 Disember, menentang Sibu 12 Disember, menentang Mukah 15 Disember, diikuti aksi menentang Bintulu pada 18 Disember dan Miri pada 21 Disember.