KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) harus memastikan pembekalan barang keperluan bersubsidi atau kawalan ke kawasan pedalaman Sarawak sampai sepenuhnya kepada masyarakat di situ.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong ia memandangkan tidak semua barangan berkenaan sampai kepada pengguna di kawasan pedalaman.

“Contohnya jika 100 tong gas cecair petroleum (LPG) yang telah diluluskan pengedarannya namun yang sampai ke kawasan rumah panjang hanya 40 tong sahaja, baki 60 tong lagi entah hilang ke mana.

“Kerana itu KPDNHEP harus memperkasakan operasi pemantauan dan penguatkuasaannya dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2021 peringkat Jawatankuasa KPDNHEP di Dewan Rakyat, hari ini.