MIRI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang Polis Bantuan Petronas (PBP) meninggal dunia ketika bertugas di kawasan sempadan Hulu Baram semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail mengesahkan kedua-dua mangsa dihanyutkan oleh arus deras sungai sekitar jam 6.40 petang.

Katanya mayat kedua-dua mangsa telah ditemui sekitar jam 3 petang berhampiran Sungai Layun, seterusnya di bawa ke klinik Long Lama untuk proses siasatan lanjut.

“Kejadian berlaku ketika anggota berehat sebelum arus deras tiba-tiba datang dari sungai lalu menarik dua daripada lapan anggota rondaan.

“Setakat ini mayat kedua-dua mangsa berada di klinik Long Lama sementara menunggu keputusan untuk menjalankan bedah siasat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Mangsa (PGA) dikenali sebagai Sarjan Simon Laja, 47, manakala PBP hanya dikenali sebagai Sarjan Kemiang.