KUCHING: Semangat seorang pendidik, Nancy Maria dari SMK Merbau, Miri tampil mengenakan pakaian tradisional setiap kali sesi pembelajaran dalam talian sebagai inisiatif untuk menarik minat pelajarnya.

Guru berusia 43 tahun yang berasal dari Kaum Kayan, Apau Koyan, Belaga itu mendedahkan hasrat mengenakan pakaian tradisional bermula sejak Mac lalu iaitu bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Sejak cuti sekolah diawalkan dalam tempoh berkenaan kami telah menggunakan aplikasi Google Meet sepenuhnya untuk mengajar secara dalam talian,” katanya.

Beliau mengakui mengajar dalam talian memakan masa dua jam setiap sesi merupakan cabaran besar bagi pendidik.

“Namun sambutan para pelajar terutamanya pelajar tingkatan enam di sekolah kami tidak ada masalah.

“Minggu pertama dan minggu kedua semua pelajar hadir ke kelas dalam talian,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak.

Beliau berkata, keadaan pelajar yang tidak mempunyai capaian Internet di rumah menjadi halangan.

“Tetapi mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menyertai kelas dalam talian dengan mencuba berkali-kali untuk sambungan Internet,” jelasnya.

Katanya, ia suatu kebanggaan terhadap anak-anak didiknya.

Selain cabaran mengekalkan momentum dan minat pelajar selama dua jam di depan komputer untuk bersamanya dalam talian, Cikgu Nancy berkata inisiatif berpakaian tradisional itu diyakini dapat menawan hati para pelajar.

“Ini kerana hanya mereka dapat melihat saya, manakala saya tidak dapat melihat mereka kerana mereka kebanyakan mematikan kamera,” ujarnya.

Menegaskan norma baharu akibat pandemik Covid-19 hingga memaksa pelajar belajar secara maya kata cikgu Nancy ia bukanlah penghalang ataupun alasan seseorang pelajar untuk tidak berjaya.

“Tidak kiralah situasi belajar dalam norma baharu sekarang.

Para pelajar perlu tetapkan pendirian untuk berjaya, tidak kisah bagaimana cara atau pendekatan cikgu kita mengajar… yang paling penting pelajar harus belajar tanpa mengira apa juga cabaran dalam mencari ilmu untuk berjaya,” tegasnya.