HAIFA: Israel menerima kapal peluru berpandu baharunya pada Rabu, dengan pegawai tentera laut memberitahu AFP armada diperkukuhkan “secara dramatik” untuk meningkatkan kemampuan negara menentang musuh di rantau itu, termasuk Iran.

Pemerolehan empat kapal tentera laut dan tiga kapal selam dari syarikat gergasi industri Jerman, Thyssenkrupp itu merupakan bahagian penting dari peningkatan tentera laut utama di negara Yahudi, kata ketua operasi tentera laut Israel, Laksamana Muda Eyal Harel dalam wawancara minggu lalu.

Kapal korvet Saar 6, INS Magen pertama berlabuh di pelabuhan Haifa pada Rabu, sementara tiga yang lain dijadualkan tiba dalam masa dua tahun lagi.

Korvet Saar 6 itu dilengkapi “radar paling canggih berbanding mana-mana kapal di dunia”. Kapal sepanjang 90 meter itu juga dilengkapi sistem pertahanan roket dan peluru berpandu, peluru berpandu antipesawat dan antikapal, torpedo serta tapa pelancar yang dipertingkatkan untuk pesawat tempur terbaru Israel.

Kapal-kapal tersebut memimpin usaha melindungi zon ekonomi eksklusif Israel iaitu industri gas yang dilihat sebagai aset negara.

Menurut Harel, pelantar luar pesisir Israel “ialah objektif utama dalam senarai sasaran Hizbullah untuk perang berikutnya.”

Harel mengatakan armada baru Israel itu meningkatkan kemampuan angkatan laut untuk mempertahankan aset gas asli di luar pesisir yang semakin menguntungkan daripada pesaingnya seperti kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah, yang mendapat sokongan Iran.