KUCHING: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan mengeluarkan benih asas di Skuduk/ Chupak, Siburan untuk penyelesaian jangka masa panjang dalam memastikan bekalan benih padi di negeri ini mencukupi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selepas itu benih akan diberikan kepada Jabatan Pertanian Negeri Sarawak (JPNS) untuk menghasilkan benih padi daftar dan sah.

“Sementara pengeluaran benih padi sah akan dijalankan di loji pemprosesan benih padi di Stumbin, Sri Aman,” katanya. Beliau berkata demikian menjawab perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa MAFI oleh Ahli Parlimen Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat pada Rabu.

Katanya, Mardi merupakan pengeluar benih asas bagi variati baharu padi yang dibangunkan dan akan menghantar dua variati padi ke JPNS iaitu MR297 dan MR269 sebanyak 100 kilogram bagi setiap variati.

“Pada masa ini proses penghantaran sedang dalam permohonan untuk mendapatkan sijil vito sanitasi. “Apabila benih tersebut diterima oleh JPNS, mereka akan menguruskan pengeluaran benih daftar dan sah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang telah diamalkan di Semenanjung,” jelasnya.

Terdahulu Rohani berkata, di Sarawak tiada bekalan benih padi moden oleh Mardi yang dapat digunakan memandangkan benih padi yang dibawa dari Semenanjung ke Sarawak telah ditolak oleh Kerajaan Negeri kerana benih berpenyakit.

Tambah Rohani, pada musim utama penanaman padi di Batang Lupar pesawah memilih untuk menanam padi benih tradisional berbanding padi benih moden dan peruntukan perlu digunakan untuk sebarang pakej ransangan bagi menggalakkan petani menanam padi benih moden dengan cara tanaman moden. Mengenai isu pengurangan

peruntukan, Ronald berkata walaupun terdapat pengurangan dari segi pengeluaran benih padi, tetapi ia tidak menjejaskan perkhidmatan secara keseluruhan kerana bilangan pegawai masih kekal seperti sedia kala.