KUCHING: Sistem penggiliran sesi di taska dan tadika mampu mempengaruhi persekitaran kehidupan kanak-kanak malah turut mempengaruhi kemahiran pemikiran kanak-kanak ini sejak kecil.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, sistem kedatangan secara bergilir melibatkan 50 peratus daripada kanak-kanak yang hadir dalam sehari bagi membolehkan guru atau pengusaha memberi tumpuan sepenuhnya kepada kanak-kanak tersebut.

“Hal ini kerana di taska atau tadika, sistem ini akan menjadikan guru serta pengasuh memberi sepenuhnya tumpuan terhadap kanak-kanak tersebut malah medium komunikasi atau bersosialisasi yang mereka gunakan memberi impak positif kepada kanak-kanak ini.

“Jika dibandingkan di rumah, ia sangat berbeza kerana ibu bapa turut mempunyai komitmen lain seperti mencuci baju, mengemas rumah dan sebagainya,” ujarnya ketika melakukan pemantauan operasi di Taska SeDidik Perdana Kuching, pada Rabu.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Taska SeDidik Perdana Kuching Fatimah menjelaskan, beliau sangat berpuas hati dengan SOP yang ditetapkan oleh pihak pengurusan dalam menempatkan 16 kanak-kanak dari taska tersebut.

“Dalam menjaga keselamatan kanakkanak ini, sebahagian daripada SOP yang menuntut kakitangan dan ibu bapa wajib mengisi borang deklarasi kesihatan setiap hari dan ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke taska.

“Bagi penjarakan fizikal kanak-kanak, penjarakan sangat dipatuhi anak-anak ini termasuk penjarakan di tempat tidur dan di meja makan,” jelasnya.

Ujarnya, proses sanitasi untuk peralatan serta alat permainan akan dicuci dengan bersih pada setiap hari bagi memastikan keselamatan dan kebersihan dijaga.

Pematuhan kepada SOP ini sangat penting kerana kita khuatir dengan keselamatan anak ini. Setakat 30 November lalu, sebanyak 385 taska dan tadika di seluruh Sarawak sudah beroperasi semula iaitu termasuk 245 taska dan tadika di daerah Kuching dan Miri yang merupakan Zon Kuning.

“Bagi pembukaan 385 taska dan tadika tersebut, ia melibatkan sejumlah 7,611 kanak-kanak dan 7,164 guru atau pengasuh serta 3,938 pembantu guru.