KUCHING: Projek Jelapang Padi Sarawak dan projek pengairan kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar diteruskan Kerajaan Persekutuan serta dijangka siap sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana pembangunan infrastruktur tersebut dilaksanakan secara berfasa.

“Selain itu, kerjakerja reka bentuk dan pengambilan tanah sedang dijalankan sebelum projek pembangunan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Apabila siap dan lengkap semuanya kelak, MAFI menyasarkan penanaman padi daripada satu musim kepada dua musim setahun bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa MAFI oleh Ahli Parlimen Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Rohani, kawasan IADA Batang Lupar yang dianggarkan menelan harga projek RM204,600,000 berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat penghasilan makanan terutamanya untuk pasaran dalam Sarawak.

Katanya, IADA Batang Lupar diramalkan oleh kementerian mampu menghasilkan 6.5 tan padi untuk satu musim yang akan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan sistem moden bagi meningkatkan pengeluarannnya.

Menjawab mengenai sistem pengairan dan saliran di bahagian Lingga Banting berbanding kawasan Bijat Stumbin yang sepatutnya didahulukan dan sehingga kini masih belum lengkap sistem pengairan yang menyebabkan padi moden tidak dapat ditanam, Roland berkata projek pengairan tersebut serta kerjakerja berkaitan akan diteruskan dalam RMK-12 dan ia termasuk termasuk dalam senarai projek sambungan.