KUCHING: Sekiranya kaki anda ‘gatal’ hendak mengunjungi tempat menarik baharu apabila keadaan kembali reda pasca-Covid-19 nanti, buku panduan terbaharu “A Guide for Ecotourists: Nature in the Heart of Borneo” adalah pilihan yang tepat.

Buku ini diterbitkan bersama Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) dan Forum Masyarakat Adat Dataran Tinggi Borneo (Formadat) yang ditulis bersama oleh Alicia Ng dan Cynthia Chin dari WWF-Malaysia.

Menurut Cynthia, Ba ’Kelalan dan Long Semadoh mempunyai banyak keunikan selain pemandangan perkampungan yang seperti tempat bersejarah, alam semula jadi dan budaya yang menakjubkan untuk pengunjung, malah merupakan tempat yang sesuai untuk melihat burung.

“Selain itu buku ini bertujuan membantu masyarakat setempat dengan menampilkan dan mempromosikan Ba’Kelalan dan Long Semadoh sebagai destinasi untuk dikunjungi di Sarawak yang sama hebatnya seperti Mulu atau Bario.

“WWF-Malaysia percaya buku ini akan mempunyai fungsi yang penting bukan sahaja untuk menampilkan pelbagai tarikan yang terdapat di Borneo, tetapi juga mempromosikan aktiviti ekopelancongan sambil melestarikan alam untuk kepentingan manusia dan alam,” katanya.

Buku tersebut mengenai ekopengembaraan di tanah tinggi Kelabit-Maligan setebal 73 halaman mengungkap banyak mitos tersembunyi, pesona hutan tanah tinggi dan penduduk kepulauan Borneo di Sarawak.

Buku panduan ini sangat praktikal, dipenuhi dengan maklumat serta mempunyai kandungan ilustrasi yang menarik minat pembaca untuk menerokai permata tersembunyi di kawasan Long Semadoh dan Ba’Kelalan.

Buku ini dijual pada harga RM60 dan boleh dibeli melalui ahli jawatankuasa Formadat di Ba ‘Kelalan (Markus Labo 0178075009), Miri / Bario (John Trawe Kuda 0194381777 atau Lilla Raja 0198060710), Long Semadoh (Padan Ukab 0178313365) dan Long Pa ‘Sia’ (Pengiran Selutan 0178758310) dan semua hasil jualan disumbangkan kepada Formadat.