PADAWAN: Dua lelaki ditahan selepas mempamerkan aksi menunggang motosikal secara “Whiellie” dan ala “Superman” melintasi Jalan FAC Matang semalam.

Aksi itu dikesan hasil Ops Samseng yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik selama dua hari di lokasi sekitar jam 4.22 hingga 5.23 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian berkata suspek masing-masing berusia 16 hingga 21 tahun.

“Suspek pertama dikesan menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 secara melulu dan berbahaya dengan cara mengangkat tayar hadapan motosikal (whiellie).

“Manakala seorang remaja lelaki turut ditangkap selepas dia menunggang motosikal dengan meniarap di tempat duduk motosikal dan kaki melunjur lurus ke belakang ala Superman.

“Aksi kedua-dua suspek amat membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu katanya operasi turut mengeluarkan sebanyak 15 saman kepada pengguna jalan raya yang didapati melanggar kesalahan trafik.

Tambahnya antara kesalahannya iaitu empat saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran hadapan, dua tiada cermin pandang belakang, tiada lesen memandu, ubah suai struktur, dan ubah suai ekzos manakala tiga daripadanya flat fancy.