BINTULU: Khidmat sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu terpaksa dipanggil bagi membantu memindahkan seorang  lelaki yang juga  Orang Kelainan Upaya(OKU)  berikutan kediamannya di kawasan belakang Jinhold Apartment, Jalan Tanjung Batu dinaiki air sejak pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba, Christus Buson berkata sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mengangkat lelaki berumur 37 tahun itu sejurus menerima panggilan pada jam 8.22 pagi tadi.

Menurutnya, lelaki OKU itu tidak mampu bergerak dan memerlukan bantuan untuk memindahkannya ke kawasan selamat.

Beliau berkata anggota bomba dengan bantuan tiga kakitangan Unit Ambulan Hospital Bintulu menggunakan  alat pengusung khas untuk mengangkat lelaki terbabit sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Khidmat khas itu, katanya, berjaya dilaksanakan dalam masa lima minit.