BINTULU: Pembentukan skuad mantap menerusi gandingan pemain  berwibawa dan tempatan berpengalaman, mampu meletakkan Skuad Bintulu  di landasan terbaik untuk memberikan saingan sengit pada saingan Kejohanan Bola Sepak Liga Jemputan Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) Bawah 25 Tahun Zon Utara yang dijadualkan pada Januari 2021.

Keyakinan itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BIFA) Mohamad Zaifulfadillah Junaidi, yang menyifatkan ada peningkatan prestasi dipamerkan skuad terbabit sepanjang sesi latihan, baru-baru ini.

Zaifulfadillah berkata, pihaknya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain skuad berkenaan dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi, tetapi mahu mereka memperagakan aksi mantap dan konsisten sepanjang kejohanan.

Mohamad Zaifulfadillah Junaidi… sedia menentang lawan

Sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang dijangka disertai lima pasukan handalan mewakili Miri,  Limbang, Mukah, skuad Piala Presiden Sarawak dan Piala Belia Sarawak, pemain  Skuad Bintulu menjalani rutin  latihan intensif di bawah kendalian bekas jurulatih Bintulu era 90-an, Zaidel Termidi Suhaili dan dibantu bekas pemain Malaysia untuk Sukan Olimpik dan Ngap Sayot Sarawak Johnny Josephserta bekas pemain handalan skuad Bintulu Mohd Hamid Ghani.

Beliau yakin gandingan mantap bekas pemain senior ini dilihat mampu memperkukuhkan lagi kekuatan Skuad Bintulu pada kejohanan tersebut kelak.

Di samping itu, katanya pemain Skuad Bintulu juga akan menentang skuad Piala Presiden iaitu Sarawak United pada 15 Disember ini dan Kuching City FC  pada 18 Disember dalam perlawanan persahabatan di Padang Turf Kelab Kidurong Bintulu sebagai medan menguji kemampuan pemain.

Dalam pada itu, Zaifulfadillah memberitahu pemilihan pemain Skuad Bintulu dibuat dalam sesi  pemilihan yang diadakan  pada 28, 29 dan 30 November lalu menyaksikan seramai 120  pemain tampil menghadiri sesi pemilihan tersebut.

Pada  fasa terakhir sesi itu, pihak kami telah memilih 35 pemain berumur bawah 25 tahun yang layak untuk menyarung jersi Skuad Bintulu, katanya lagi.

“Bagaimanapun, tarikh sebenar kejohanan, akan ditentukan dalam masa terdekat  tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berikutan negara masih menghadapi pandemik Covid-19 ,” katanya semasa ditemui di sini, semalam.