KUCHING: Sarawak akan menubuhkan jawatankuasa untuk menangani masalah, isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengeksport dari negeri ini ke Singapura dengan kadar segera, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu berkata, jawatankuasa tersebut akan melibatkan kerjasama kementerian, agensi dan persatuan perniagaan yang berkaitan.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat bersama-sama pengurusan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak, Singapura (Statos) di Singapura menerusi persidangan video pada Jumaat.

Mesyuarat tersebut membincangkan kaedah memanfaatkan Statos untuk mempromosikan pelaburan antarabangsa, perdagangan dan pelancongan Sarawak.

Dalam mesyuarat itu, Awang Tengah turut mendengar taklimat daripada Statos mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengeksport dari Sarawak. Statos dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari pada Ogos tahun lalu untuk mempromosikan Sarawak ke Singapura dan seterusnya beberapa negara lain.

Pelbagai produk tempatan seperti midin, ikan patin beku, mi Sarawak dan lain-lain kini dijual di Singapura. Statos terus membantu pengeluar tempatan mengeksport produk mereka ke Singapura dan tempat lain.

Berikutan kejayaan itu, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk mendirikan pejabat serupa di Brunei dan Pontianak, Indonesia bagi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

Turut hadir Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) Datuk Mohd Naroden Majais dan Datuk Malcolm Mussen Lamoh serta Setiausaha Tetap Mintred Datuk Liaw Soon Eng. Sementara Statos diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Chew Chang Guan dan Pengurus Kewangan, Hal Ehwal Korporat, Perdagangan dan Pelaburan Kenny Lau.