KUCHING: Persatuan Bekas-bekas Pelajar St Joseph Kuching (OJA) menerima sumbangan lebih RM33,000 untuk membiayai projek baik pulih blok Mill Hill SMK St Joseph, Kuching.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas sumbangan mereka dalam projek tersebut.

“Ini satu usaha yang luar biasa oleh pelajar dan kakitangan sekolah kerana berjaya mengumpul lebih RM33,000 dalam keadaan semasa iaitu cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu Dr Sim yang juga Presiden OJA mewakili persatuan menerima sumbangan berupa cek daripada Ketua Pengawas SMK St Joseph Daniel dan disaksikan Pengetuanya Henry, kelmarin.

Kata Dr Sim, bukan jumlah sumbangan yang menjadi ukuran tetapi keikhlasan dan semangat pihak yang memberi perkara paling penting.

“Sekolah ini telah banyak menyumbang kepada kejayaan kepada ribuan rakyat Sarawak melalui pemberian pendidikannya yang membolehkan para alumni mereka cemerlang dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

“Josephians telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Sarawak dari segi sosial, ekonomi dan politik, ini dibuktikan dengan empat daripada enam Ketua Menteri Sarawak merupakan alumni St Joseph Kuching,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Sim menggesa orang ramai untuk terus menyumbang kepada projek baik pulih tersebut dengan anggaran kos RM5.5 juta.

Sejak pengumpulan dana dilancarkan pada 2017, OJA berjaya memperolehilebih RM2.5 juta dengan RM1.5 juta merupakan sumbangan Kerajaan Sarawak.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank SJS Mill Hill Block Restoration di 511113526004 dan e-mel ke sjsmillhillblock1894@gmail.com untuk mendapatkan resit.