KUCHING: Sebuah video animasi yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda dari Pixbugs Studio khas bagi membantu Hope Place mengumpul dana kebajikan.

Video berdurasi empat minit itu tajaan Hock Seng Lee Berhad yang merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.

Video tersebut dihasilkan menggunakan lukisan tangan dan proses untuk menyiapkan video animasi tersebut mengambil masa tujuh bulan. Pengasas Hope Place Kelvin Wan berterima kasih kepada Hock Seng Lee Berhad kerana banyak memberikan bantuan serta sokongan kepada Hope Place bagi membantu keluarga yang memerlukan bantuan di Kuching.

Tambah Kelvin, Hock Seng Lee Berhad turut menyediakan dua lot kedai tanpa bayaran sewa berhadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu 12 kepada Hope Place untuk menjual pakaian terpakai.

“Kami menggunakan kemudahan ini untuk memberikan semula kepada komuniti. Kedai ini akan memberi banyak manfaat kepada komuniti.

“Sekiranya terdapat laporan polis mengenai insiden kebakaran mahupun banjir, mereka boleh mengambil barangan terpakai tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Semasa musim perayaan, mereka yang memerlukan juga boleh datang ke sini untuk mengambil barangan keperluan tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Video Animasi di Menara HSL, La Promenade, di sini semalam. Selain itu kata  Kelvin, Hope Place kini mencari dua pekerja untuk bekerja di kedai menjual barangan terpakai tersebut.

Sementara itu, Tan Siew Moi, warga emas berusia 62 yang tinggal seorang diri di Sungai Apong turut menzahirkan penghargaan kepada Hope Place.

Katanya, rumah kebajikan itu membantunya dengan menyumbang barangan keperluan dan melayan dirinya seperti ahli keluarga.

“Saya amat menghargai sumbangan mereka. Mereka selalu melawat saya terutamanya pada musim perayaan. Saya amat berterima kasih dan menghargai Hope Place yang bukan sahaja menyumbang barangan keperluan malah memberikan kasih sayang.

“Saya juga berterima kasih kepada persatuan dan masyarakat yang menunjukkan sokongan dan bantuan yang membantu golongan miskin dan memerlukan,” katanya.