KUCHING: Dua kes baharu positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, masing-masing di daerah Kuching dan Serian.

Menurut pemangku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Tan Sri James Jemut Masing, kes 1,069 di daerah Serian merupakan jangkitan tempatan melibatkan seorang wanita warganegara Indonesia, yang merupakan isteri kepada kes 1,066.

“Kes tinggal di tempat kerja serta merupakan pekerja di ladang kelapa sawit yang sama dan maklumat awal mendapati kes juga pernah balik ke Kalimantan, Indonesia dan masuk semula pada awal Oktober lalu,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Manakala bagi kes daerah Kuching, beliau berkata kes 1,070 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang telah pulang dari Gabon, Afrika Tengah pada 2 Disember lalu.

Masing berkata lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu jentolak di sebuah kem pembalakan di Gabon dan kes telah memulakan penerbangan dari Libreville, Gabon serta singgah di beberapa negara di benua Afrika termasuk Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada 4 Disember lalu.

“Semasa transit di KLIA1, kes telah menjalani saringan Covid-19 menggunakan RTK Antigen dan keputusan saringan adalah tidak reaktif kepada Covid-19 dan kes kemudian meneruskan perjalanan ke Kuching menggunakan penerbangan pada hari yang sama,”katanya.

Ekoran itu beliau menjelaskan, setibanya di Kuching, kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin hotel bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan kes telah disaring semula pada 5 Disember dan ujian rT-PCR didapati positif pada 6 Disember lalu.

“Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan kes dikategorikan sebagai kes Import A iaitu kes telah mendapat jangkitan semasa berada di luar negara,” ujarnya.