GOOGLE dan Facebook merupakan dua gergasi dalam Internet.

Google menguasai dunia pencarian Internet sementara Facebook mendominasi media sosial.

Kedua-duanya meraih keuntungan menerusi periklanan bersasar yang ditujukan khusus berdasarkan profil psikografik penggunanya.

Para pengiklan sememangnya mendambakan iklan seperti ini demi memanfaatkan sepenuhnya perbelanjaan iklan.

Apabila kita menggunakan enjin carian Google atau Facebook, kedua-dua gergasi teknologi maklumat ini mengutip maklumat setiap pengguna.

Setiap orang mempunyai nilai, keinginan, matlamat, minat dan gaya kehidupan tersendiri yang disebut sebagai psikografik.

Semua ini terserlah apabila kita mencari maklumat tertentu dalam carian Google ataupun kawan-kawan kita dalam Facebook.

Setiap kali kita melayari Internet, gergasi teknologi maklumat ini mengumpul data.

Semua laman sesawang kini melakukan aktiviti “perlombongan” maklumat.

Mereka mengumpul bilakah kita melawati sesuatu laman sesawang, apakah maklumat yang dicari, berapa lamakah kita berada pada sesuatu laman itu?

Kekerapan kita kembali ke laman sesawang itu? Walaupun nama kita tidak diketahui tetapi yang penting ialah mereka mengumpul maklumat-maklumat tentang semua aktiviti dalam talian.

Semuanya dirakam dan disimpan dalam pangkalan data yang boleh diproses kemudian meneliti pola penggunaan sesuatu laman sesawang itu.

Sebelum Internet dan media sosial wujud, para pengiklan bergantung kepada media tradisional seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, dan pawagam untuk mengiklankan produk masing-masing.

Perbelanjaan iklan ini didorong oleh keinginan untuk menaikkan penguasaan pasaran pengguna sesuatu produk.

Mengiklan dalam media tradisional, para pengiklan tidak dapat memastikan bahawa iklan itu memberi kesan kepada peningkatan jualan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Para pengiklan termakan dengan “janji manis” pengusaha media bahawa iklan itu disasarkan kepada segmen pengguna tertentu.

Para pengusaha media tradisional menawarkan data demografi yang dikumpul berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan oleh agensi penyelidikan sosial.

Agensi ini menggaji enumerator untuk pergi ke lapangan bagi mengumpul maklumat pengguna sesuatu media.

Sebagai ganjaran, para pengguna yang mengisi borang tinjauan ini mendapat sagu hati.

Walaupun data psikografi dapat dikumpul tetapi para peserta sesuatu kajian lapangan berkemungkinan memalsukan maklumat peribadi, termasuk maklumat nilai, sikap dan cita rasa mereka.

Data terkumpul ini kemudiannya diproses dan dijual kepada para pengiklan yang ingin mengiklankan produk mereka dalam media tradisional.

Berbeza daripada media tradisional, dalam alam maya, semua maklumat terkumpul tanpa henti, sepanjang hari, setiap minggu, bulan dan tahun.

Maklumat ini dikumpul tanpa kesudahan. Apabila mengguna Google ataupun sebarang enjin carian lain kita perlu menyedari hakikat ini.

Begitu juga para pengguna media sosial, sama ada Facebook atau sebagainya.

Google, Facebook dan sebagainya membuat duit menerusi iklan.

Mereka memaparkan ringkasan berita yang dikutip dari media tradisional.

Media tradisional yang menggaji pemberita, membayar editor, menanggung kos cetakan akhbar dan dalam talian, serta semua kos pentadbiran dan pengedaran lain tidak dibayar sesen pun oleh gergasi teknologi maklumat dunia ini.

Gergasi ini mengutipnya secara percuma. Walaupun tidak sepenuhnya berita yang disiarkan tetapi cukup untuk menarik perhatian pengguna Internet mengetahuinya.

Soalan timbul ialah bolehkah Google, Facebook dan syarikat teknologi maklumat lain dikenakan bayaran bagi menggunakan ringkasan berita dalam laman mereka?

Media tradisional berpendapat mereka sewajarnya diberi imbuhan.

Namun Google dan Facebook tidak bersetuju sebab mereka mengembalikan para pengguna kepada laman sesawang media tradisional bagi berita sepenuh dan selanjutnya.

Semua ini dilakukan secara percuma dan manfaat diterima oleh organisasi media tradisional.

Media tradisional pula beranggapan bahawa enjin carian dan media sosial menyebabkan edaran akhbar dan iklan menurun.

Kerajaan Perancis, Jerman dan Sepanyol telah berusaha “menundukkan” maharaja teknologi maklumat dengan mengadakan undang-undang supaya mereka membayar peratusan tertentu daripada kutipan iklan.

Google bertindak menghentikan semua carian yang berkait dengan berita terbitan media tradisional negara-negara tersebut.

Terbaharu Australia telah menggubal undang-undang bagi melakukan perkara sama.

Google memberi amaran bahawa pengguna negara itu akan terjejas sebab enjin carian itu tidak lagi mengkatalogkan berita yang disiarkan media tradisional untuk kegunaan orang ramai.

Adakah tindakan Australia akan berjaya?

Kita kena tunggu dan lihat. Yang pasti tindakan ini dibuat oleh negara-negara secara berasingan.

Ini berbeza daripada tindakan bersepadu pencipta, penyanyi, pemuzik dan pengusaha filem yang menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Hakcipta.

Di Malaysia, semua gedung membeli-belah membayar royalti bagi penyiaran lagu dalam sistem siar raya mereka.

Gedung membeli-belah yang enggan membayar royalti tidak dibenarkan memainkan lagu dalam sistem siar raya mereka.

Lagu yang dikumandangkan dalam siar raya ini menghidupkan suasana di kompleks membeli-belah.

Lagu raya diputarkan bagi mendorong orang membeli-belah semasa musim perayaan menjelang tiba.

Maharaja teknologi maklumat tidak pula dikenakan sebarang bayaran bagi menggunakan ringkasan berita yang diterbitkan oleh pengusaha media tradisional?

Semua media tradisional di seluruh dunia perlu bergabung dan meminta kerajaan negara masing-masing memperkenalkan undang-undang bagi membolehkan mereka menuntut pampasan daripada maharaja teknologi maklumat ini.

Adakah semua negara mahu bergabung untuk melindungi kepentingan mandiri semua media tradisional yang beroperasi secara komersial?

Adakah kerajaan di seluruh dunia boleh bersatu hati untuk memperjuangkan nasib media tradisional?

Sekiranya kerajaan di seluruh dunia bersatu hati menundukkan maharaja teknologi maklumat, adakah nanti akan ada organisasi lain pula meminta sokongan dan perjuangan sama?

Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan