SEMASA zaman penjajah, Kampung Lubuk Punggor disifatkan oleh beberapa penduduk sebagai kawasan terpencil dan jauh daripada kesibukan kota.

Untuk berkunjung ke Kampung Lubuk Punggor ketika itu bukanlah mudah.

Pengunjung perlu menaiki perahu, sama ada dari Muara Tuang, Samarahan, dari Kuching atau dari Pekan Simunjan.

Namun ramai pengunjung memilih melalui Pekan Simunjan atau Gedong.

Ini kerana jarak Pekan Simunjan atau Gedong lebih dekat, berbanding dari kawasan lain.

EDI AMENG

Bagaimanapun, ketika itu Lubuk Punggor hanya dapat dikunjungi dengan menaiki perahu atau bot, sama ada dari Pekan Simunjan atau Gedong.

Kerana ketika itu akses jalan raya belum ada.

Untuk ke Lubuk Punggor ketika itu penduduk perlu bijak memilih masa yang sesuai untuk menyusuri Batang Sadong, sama ada dari Pekan Simunjan atau Gedong.

Ini kerana jika tersalah pilih masa, pengunjung akan berhadapan dengan fenomena benak ketika berada dalam perahu.

Fenomena benak adalah satu kejadian ombak besar yang berlaku setiap kali air pasang besar.

SEROJI HAZMI

Ombak benak boleh mencecah sehingga tiga meter dan amat berbahaya, terutama ketika berada dalam perahu kecil.

Selain itu, pengunjung juga boleh terserempak buaya ganas yang sering menonjolkan diri setiap kali kejadian benak atau ketika air surut.

Buaya bukan sahaja sering ditemui berenang, malah sering kelihatan merayap di atas tebingan sungai atau di pantai yang becak.

Keadaan ini sering menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Lubuk Punggor ketika berulang-alik dari kampung ke Simunjan atau Gedong.

Namun, pada masa ini kebimbangan itu sudah berakhir apabila penduduk Kampung Lubuk Punggor turut menikmati kemudahan jalan raya berturap dari Kota Samarahan dan Simunjan.

MOHD IZZUDDIN ABDULLAH

Penduduk Kampung Lubuk Punggor tidak lagi menggunakan perahu untuk ke Simunjan, Gedong atau Kota Samarahan, sebaliknya mereka menggunakan kenderaan darat seperti kereta, van atau motosikal.

Mereka hanya menggunakan perahu ketika menangkap ikan dan udang di sungai berhampiran atau ke kebun masing-masing.

Ketua PBB Zon Pangkor yang juga seorang Ahi Majlis Daerah Simunjan, Mohd Izzuddin Abdullah berkata, penduduk Kampung Lubuk Punggor berasa bangga kerana kampung ini dapat dikunjungi dengan pengangkutan darat.

Menurutnya, dengan jalan raya yang lebih baik, penduduk dapat berkunjung ke beberapa kawasan berhampiran seperti Simunjan, Gedong, Serian, Kota Samarahan, Sadong Jaya, Asajaya, malah ke pusat bandar raya Kuching.

Kata beliau, berikutan sistem jalan raya yang sempurna membolehkan penduduk Kampung Lubuk Punggor berulang-alik dari kampung ke tempat kerja sama ada di Kota Samarahan atau ke Kuching.

“Malah aktiviti pertanian turut rancak apabila penduduk dapat mengangkut hasil tanaman sawit ke kilang berhampiran dengan menggunakan lori.

“Ini adalah hasil usaha pemimpin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama Adun Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais dan beberapa Ahli Parlimen di kawasan ini sebelum ini termasuk Datuk Seri Nancy Shukri.

“Malah dengan kemudahan jalan yang lebih baik membolehkan Mohd Naroden serta rombongan belia dari Gedong dapat berbasikal ke Kampung Lubuk Punggor,” katanya.

Ketika ini pekerjaan utama penduduk ialah menanam kelapa sawit dan padi.

Selain itu ada juga yang bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran, agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, penduduk turut aktif berniaga dengan menyertai Koperasi Kampung Lubuk Punggor Simunjan Berhad. Koperasi pernah disifatkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai antara koperasi yang cemerlang di Sarawak. Salah seorang penduduk, Seroji Hazmi, 74, memberitahu bahawa Kampung Lubuk Punggor dipercayai wujud lebih 300 tahun lalu.

Katanya, semasa usia mudanya keadaan Kampung Lubuk Punggor banyak kekurangan.

“Kini keadaannya banyak berubah, malah tidak pernah termimpi oleh penduduk sebaya dengan saya sebelum ini apabila pelbagai pembangunan berlaku di Kampung Lubuk Punggor seperti jalan raya dan pembangunan pertanian,” katanya. Seperti kampung-kampung lain di luar bandar, Kampung Lubuk Punggor kini mempunyai kemudahan bekalan elektrik sepenuh masa, masjid baharu, rumah rehat, perpustakaan dan sekolah rendah.

Malah tidak lama penduduk Kampung Lubuk Punggor akan menikmati bekalan air bersih yang lebih sempurna, apabila kerja membina tangki air yang mempunyai pam berkuasa tinggi di kawasan itu siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Mengikut sejarah, nama Kampung Lubuk Punggor wujud berikutan kisah tiga orang penduduk yang menemui kejadian sebatang pokok yang telah mati tiba-tiba timbul di tengah sungai.

Bagi penduduk setempat, pokok mati dikenali sebagai punggor, kerana ia hanya mempunyai batang, manakala daun-daunnya layu dan mati.

Salah seorang penduduk Edi Ameng memberitahu, ketika kejadian pokok yang mati itu tiba-tiba timbul di permukaan air, penduduk berkenaan secara serentak menyebut perkataan ‘punggor’ kerana terlalu terkejut melihat kejadian yang berlaku.

Ceritanya lagi, setelah beberapa ketika penduduk berkenaan menyebut perkataan ‘punggor’, pokok yang mati itu terus tenggelam ke dasar sungai tanpa menimbul kesan kocakan air.

“Penduduk berkenaan menceritakan kejadian yang mereka alami kepada penduduk setempat dan berikutan itu nama punggor kekal hingga hari ini,” katanya.

Mengikut sejarah kampung ini hanya diterokai penduduk yang membuka tanah di kawasan ini untuk aktiviti pertanian terutama bersawah padi pada awal tahun 1930-an.

Sebelum nama Lubuk Punggor wujud, kampung ini hanya dikenali sebagai kawasan berlubuk atau sungai.

Menurut Edi yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha JKK kampung sekitar tahun 1990- an, Kampung Lubuk Punggor telah beberapa kali muncul pemenang Pertandingan Desa Cemerlang Daerah Simunjan pada 1988.

“Pada masa ini kita yakin pemimpin masyarakat di kampung ini dapat mengembalikan kecemerlangan ini berikutan pelbagai kemudahan telah disediakan.

“Malah fenomena benak dan sawah boleh dimajukan sebagai antara produk tarikan pengunjung ke kampung ini,” katanya.