KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perjanjian Komersial yang ditandatangani antara Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Kuala Lumpur hari ini akan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak dan membuka pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri yang berkaitan di negeri ini.

Justeru, beliau mengalu-alukan persetujuan melalui sebuah perjanjian komersial berkenaan dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di Sarawak.

“Penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas ini, termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak yang dicapai sebelum ini akan membolehkan Kerajaan Sarawak memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.

“Perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), iaitu anak syarikat milik Kerajaan Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata ia bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut.

Pada masa yang sama, katanya Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

“Persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial ini sesungguhnya melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan Kerajaan Sarawak.

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya.