KUCHING: Sebanyak 20 peratus unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diperuntukkan khusus untuk golongan setinggan yang memohon dan menepati kriteria.

Selain itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata turut diperuntukkan 20 peratus unit rumah Spektra Permata yang dibangunkan di atas tanah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

“Kita mempunyai beberapa program seperti menyediakan unit rumah kosong sedia ada bagi PPR, sewa dan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) kepada setinggan yang memohon dan menepati kriteria tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Produk Kejuruteraan Kayu 2020 di sini, hari ini.

Menurut Len, program berkenaan merupakan usaha bagi menangani masalah setinggan di negeri ini khsususnya di Miri, Kuching, Bintulu, Sibu, Sarikei, Bintangor, Betong dan Kapit.

Beliau merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Setinggan Sarawak berkata ia selaras dengan sasaran untuk mencapai sifar setinggan di Sarawak menjelang 2025.

Len menambah inisiatif lain adalah dari segi mengurangkan bayaran premium lot baharu yang disediakan kerajaan, yang kini dikenakan sebanyak RM5,000.

“Kerajaan juga memastikan semua kemudahan di kawasan perumahan seperti jalan raya diturap, parit dikonkrit, bekalan air dan elektrik disediakan bagi memastikan keselesaan rakyat untuk mendapatkan rumah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga sudah mengenal pasti kawasan untuk program Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi menangani masalah setinggan.