SIBU: Rumah Maxwell, rumah panjang kaum Iban yang mempunyai 22 pintu di Km 21, Jalan Oya di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rumah panjang pertama di Sarawak dipilih sebagai lokasi penganjuran pertandingan E-Sport Mobile Legends yang lazimnya diadakan di pusat bandar.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa E-Sport Nangka Challenge, Briged Pemuda dan Wanita Luar Bandar Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka serta Pusat Khidmat DUN Nangka itu hari ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga penganjur terpaksa menolak separuh daripada jumlah penyertaan.

“Lebih 30 pasukan dengan setiap satunya diwakili lima anggota dari kawasan bandar dan luar bandar di sini mendaftar untuk mengambil bahagian dan demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, kami terpaksa menolak separuh daripada jumlah keseluruhan pendaftaran.

“Pertandingan ini telah menarik lebih 28,000 tontonan dan tanda suka dalam Facebook kami,” kata pengerusi penganjur merangkap Presiden Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Tengah Sarawak Abdul Taib Rosli selepas penyampaian hadiah pertandingan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak merangkap ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee.

Abdul Taib berkata walaupun rumah panjang tersebut tidak mempunyai kemudahan jalur lebar WiFi, namun pemain-pemain sanggup menggunakan data jalur lebar telefon bimbit masing-masing untuk bertanding.

Sementara itu, Dr Annuar berkata pemilihan rumah panjang sebagai lokasi penganjuran sukan tersebut adalah bagi memberi peluang kepada pemain-pemain yang terdiri daripada golongan belia pelbagai kaum untuk beramah mesra.

Katanya ia turut membolehkan golongan belia pelbagai kaum dari kampung Melayu/Melanau dan rumah-rumah panjang dalam DUN Nangka bertanding di ruai (ruang tamu) rumah panjang itu.

Beliau berkata ia juga bagi menarik minat lebih ramai golongan belia luar bandar menyertai E-Sport yang biasanya dikuasai golongan belia bandar selain membantu mencari bakat-bakat baharu bagi mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2021 nanti.

“Memandangkan pertandingan ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada golongan belia, kita akan pasangkan kemudahan jalur lebar di Rumah Panjang Maxwell ini bagi membolehkan golongan belia di sini menyertai pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Tengah Sarawak telah diminta untuk menganjurkan pertandingan serupa di kawasan luar bandar lain bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia menyertainya.

“Setakat ini perancangan kita ialah pada 27 Dis ke bandar Kapit, bulan Januari tahun depan ke Mulu (pedalaman utara Sarawak) kemudian ke Bukit Goran (luar bandar Kapit) dan diikuti Mukah (kawasan persisiran tengah Sarawak,” katanya.