SARIKEI: Seorang warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas sampan yang dinaikinya karam dipercayai dipukul ombak kapal di Sungai Rajang berhampiran Muara Payang dekat sini, petang semalam.

Sementara dua lagi warga tempatan, Romiton Anthony, 27, dan pemilik bot, Bahtiar Janggu, 25, terselamat dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak melaporkan, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Rian, seorang warga Indonesia yang berkerja sebagai juruelektrik di Sibu.

Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Sarikei semalam.

“Bomba menerima laporan itu pada jam 7.36 malam namun setelah berbincang, komander operasi menetapkan operasi akan dimulakan hari ini. Ia tidak dilakukan semalam atas faktor keselamatan, cuaca gelap dan hujan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Polis, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan menghala ke Muara Payang dari Sarikei namun, selepas setengah jam perjalanan, sampan yang dinaiki mereka karam akibat ombak kapal.

Romiton dan Bahtiar dilaporkan sempat bertaut pada tangki minyak manakala Rian hilang. Kedua-duanya diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan itu setelah ternampak bot mereka karam.