DARO: Seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter ditemui bersembunyi di dalam enjin kereta di Kampung Itol di sini, petang tadi.

Ketua Balai dan Penyelamat Daro, Mohd Noor Abdullah berkata, kejadian disedari oleh pengadu kira-kira jam 4.35 petang sebelum menghubungi Bomba untuk mendapat bantuan.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 4.40 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, empat anggota kami yang diketuai Komander Operasi, Mustapha Wasli, terus membuka hood kereta dan mendapati ular tedung selar itu berada di bahagian enjin.

“Kami berjaya menangkapnya dengan menggunakan penyepit dan operasi tamat pada 5.05 petang,” katanya.

Reptilia itu kemudian dilepaskan jauh dari kawasan penempatan.