KUCHING: Dua kes positif Covid-19 dikesan di Daerah Kuching hari ini, yang merupakan kes import.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), bagi kes 1,071 adalah membabitkan seorang lelaki warganegara Indonesia, yang telah dikesan dan dimasukkan ke pusat kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dan kembar kepada kes 1,067 yang telah dilaporkan pada 4 Disember lalu.

“Berdasarkan siasatan, kes ini yang berasal dari Kalimantan, Indonesia telah memasuki Sarawak pada pertengahan November lalu.

“Kes ini juga dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah kerana tiada data kemasukkan kes ke Sarawak bersama kes ke-1067.

“Berdasarkan sejarah pergerakan, kes ini dikategorikan sebagai kes Import A iaitu jangkitan semasa berada di negara asal kes (Indonesia) sebelum masuk ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala, satu lagi kes iaitu ke-1,072 merupakan seorang lelaki dari Kelantan yang telah masuk ke Sarawak atas urusan melaporkan diri di pusat latihan di Kuching.

Katanya kes masuk ke Sarawak pada 6 Disember lalu dan telah diberi arahan kuarantin wajip selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

“Kes masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.

“Kes ini dikategorikan senagai kes Import B iaitu telah mendapat jangkitan semasa berada di Kelantan,” katanya.

Kedua-dua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,072 kes.