KUCHING: Pengalaman kerja selama 25 tahun di sebuah hotel dimanfaatkan sepenuhnya apabila pasangan suami isteri berjaya membuka gerai makanan yang menyediakan 10 hingga 14 menu setiap hari dan semakin popular dalam kalangan masyarakat di sini.

Gerai makanan Dayak Fastfood & LokLok di kedai makan terbuka berdepan Electra House menyediakan pelbagai hidangan lauk berasaskan makanan Dayak untuk menu makan tengah hari dan dibuka pada jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang setiap Khamis hingga Ahad.

Pemilik gerai Minchong Jaban, 53, berasal dari Kampung Sampun Gerung-gang memulakan perniagaan sejak lapan tahun lalu dengan hanya menyediakan tujuh hingga lapan menu dalam sehari. “Antara menu yang menjadi pilihan pelanggan di sini ialah ikan keli masak asam pedas, rebung tumis sambal, ayam masak kacang ma, sayur paku rebus dan lain-lain.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dari jabatan kerajaan yang turun makan tengah hari. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas, ramai yang membungkus makanan untuk hidangan tengah hari,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambah beliau, makanan yang disediakan selalu habis sebelum jam 1.00 petang.

Jelasnya, selain menyediakan masakan di gerai, dia dan pasangannya juga menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis hari jadi, perkahwinan dan kematian.

Selain itu, Minchong memberitahu bahawa bahan mentah seperti sayur kampung dibeli daripada penduduk kampung pada awal pagi dan bahan-bahan lain mempunyai pembekal tersendiri.

“Perkara yang menjadi inspirasi saya adalah perasaan ingin mencuba untuk membuka gerai makanan dan masakan di sini apabila hanya saya dan isteri berbangsa Iban yang berjual dalam kalangan majoriti bangsa Cina di kedai makan terbuka ini.

“Ada juga pemilik kedai kopi yang memberi tawaran kepada saya untuk membuka cawangan di kedai mereka dengan menggunakan nama gerai saya tetapi saya menolak kerana tiada pekerja,” ujarnya.

AYAM MASAK KACANG MA

REBUNG TUMIS SAMBAL