PANDEMIK Covid-19 telah memberi pengajaran berguna kepada kita, iaitu belajar menjalani kehidupan yang lebih bermakna dalam penggunaan teknologi digital dan Internet.

Ketika kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, ramai masyarakat kita terpaksa duduk di rumah.

Urusan pejabat agak terhad. Malah ada yang berkata, kita bekerja dari rumah.

Namun sekarang ini ia sudah pun menjadi kelaziman baharu.

Mereka yang tidak mengetahui atau tidak pernah mendengar tentang aplikasi mesyuarat maya seperti Zoom dan Microsoft Teams, mula belajar lebih banyak dan mengambil inisiatif untuk menggunakannya dengan lebih kerap.

Sama ada kita suka atau tidak, digitalisasi telah memberikan kita transformasi yang besar sepanjang 2020.

Pada masa yang sama, beberapa masalah yang berkaitan dengan keselamatan siber dan privasi, seperti serangan siber, “ransomware”, perisian intip (Spyware) dan apa sahaja yang berkaitan dengan peningkatan keselamatan maklumat telah menarik minat syarikat dan individu.

Ini kerana sikap tidak ambil peduli akan mengundang bahaya dalam pelbagai cara.

Oleh itu, dengan melihat pentingnya memiliki platform yang kukuh untuk mendidik masyarakat tentang keselamatan siber dan keperluan privasi, kami mengambil inisiatif untuk memperkenal e-Keselamatan dan Saluran Privasi atau ringkasnya, ESPC.

Ketika kami mewujudkan ESPC, tujuan kami adalah untuk membina infrastruktur yang kukuh dan kolaboratif.

Ia dapat membantu menyebarkan maklumat penting yang berkaitan dengan keselamatan dan privasi siber dalam bentuk berita dan kewartawanan media dalam talian yang kreatif, penyiaran serta penerbitan.

Apa yang lebih penting ialah mendidik dan memberi amaran dengan kerap kepada masyarakat mengenai bahaya dan risiko kerana mengabaikan keperluan untuk mempraktikkan keselamatan siber dan privasi dalam era digital ini.

Idea di sebalik penamaan kolum ini “Buaian ke Syurga” adalah untuk menunjukkan perlunya keselamatan siber dan privasi dalam kehidupan kita, termasuk syarat untuk mendidik kita mengenai perkara penting.

Ia merupakan ‘pengembaraan’ yang tidak berkesudahan.

Jenayah siber boleh berlaku tanpa kita sedari kerana kadang-kadang ia tidak dapat dikesan dengan mata kasar.

Malah kita tidak sedar, bahawa kita adalah mangsa. Apabila digitalisasi meningkat, jenayah siber juga meningkat, seiring dengan eksponensial.

Ini termasuk jenayah berkaitan kewangan, rawatan dan eksploitasi kanak-kanak, pemerdagangan manusia dan pelacuran, perlanggaran privasi, penggodaman dan kecurian data.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menekankan tentang kepentingan untuk membawa Sarawak ke arah digitalisasi bagi memacu ekonomi digital.

“Aspek pembangunan semasa berdasarkan teknologi digital memerlukan negeri ini melakukan perubahan, daripada kaedah konvensional kepada digital,” katanya.

Digitalisasi telah berkembang pesat secara serentak di seluruh dunia semasa pandemik Covid-19. Kawalan pergerakan dan hubungan fizikal telah memaksa orang ramai menggunakan teknologi digital dalam pekerjaan, membeli-belah dan melakukan apa yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

Kami berharap platform digital dan e-marketplace ESPC ini, dengan konsep pembelajaran berterusan.

Kolum ini dapat mendidik lebih ramai untuk memahami dan bersedia menghadapi semua jenis jenayah ancaman siber bagi memastikan keselamatan serta privasi, keluarga dan masyarakat dapat dijaga dengan baik.

Lebih banyak lagi yang akan kami kongsikan selepas ini.

• Datuk Dr Mohd Abdul Karim ialah pengasas Serba Dinamik Holdings Bhd, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik Group Bhd.