BEBERAPA hari lepas, saya begitu teruja melihat di laman facebook berlegar gambar guru di SK Nanga Oyan Kapit membina bilik Stem yang begitu canggih dan berunsurkan futuristik.

Ini satu pencapaian yang cukup baik bagi sekolah yang terletak di jantung Sarawak iaitu Kapit.

Malah kejayaan guru sekolah berkenaan mengingatkan saya beberapa pencapaian yang pernah dibuat oleh beberapa rakan guru yang mengajar di pedalaman.

Rentetan itu saya yakin sekolah luar bandar mampu mewujudkan kebitaraan yang luar biasa untuk anak-anak murid mereka menonjol dalam bidang-bidang tertentu.

Bitara bermaksud sesuatu yang unik dan tiada persamaan dengan yang lain.

Hasrat kementerian mahu setiap sekolah mempunyai kebitaraan tersendiri.

Ada beberapa sebab mengapa sekolah luar bandar atau sekolah kurang murid mampu menonjol dalam kebitaraan.

Pertama, kerana jumlah murid yang sedikit, memudahkan guru fokus membimbing pelajar dalam satu-satu kegiatan.

Malah jumlah murid yang sedikit membuatkan rasa kepunyaan dan kekitaan lebih kuat dan ini mengurangkan persaingan dan perasaan segan dalam kalangan murid.

Kekangan pengaruh luar kerana murid-murid ini tinggal di pedalaman atau luar bandar membolehkan guru membimbing mereka dengan lebih teratur.

Pihak luar atau NGO lebih suka membantu pelajar luar bandar sebagai satu bentuk sumbangan komuniti membolehkan sekolah ini mendapat dana bagi membantu perlaksanaan projek kebitaraan.

Terdapat beberapa contoh kebitaraan yang boleh dibuat sekolah luar bandar. Pertama Aktiviti Stem.

Stem atau sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik adalah fokus kemenjadian murid masa kini.

Di pusat bandar, Stem menjadi tonggak kejayaan sekolah.

Banyak program seperti robotik dan inovasi diadakan di sekolah kawasan bandar.

Peluang ini juga hendaklah dimanfaatkan sekolah luar bandar.

Malah sudah terbukti beberapa tahun lepas sebuah sekolah di pedalaman Marudi iaitu SK Long Sepiling berjaya menghantar murid seawal 9 tahun dalam program Kejuruteraan Muda di Kuala Lumpur untuk pertandingan pengaturcaraan robotic audrino.

Ini satu pencapaian besar bagi sekolah yang hanya mempunyai 13 orang murid. Program bakat seni juga boleh menjadi satu elemen membentuk kebitaraan di sekolah.

Murid-murid biasa didedahkan dengan pertandingan nyanyian dan tarian.

Namun ada sekolah yang berani mengetengahkan bakat dalam bidang lakonan.

Sebagai contoh di Sabah, seorang guru, Iroet Marteni berjaya membawa SK Tampulan melalui filem Solunsug menyertai pesta filem pendek di peringkat antarabangsa iaitu di Korea Selatan, Slovenia dan Brazil.

Di Sarawak kita ada Cikgu Wan Dinnie yang mengajar di SK Temong Serian berjaya membawa bakat pelajar dalam filem animasi rotoskop bertajuk Hana yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Digital Story Telling di peringkat kebangsaan dan mendapat pengiktirafan dalam pemilihan rasmi sebuah pertandingan animasi di Bali, Indonesia pada 2017.

Pada 2020 Cikgu Wan Dinnie dan Cikgu Reduan berjaya membawa SK Temong melalui filem animasi rotoscope bertajuk B.B atau Batuh Bijanji yang merangkul anugerah Best Filem by Popular Jury di Festival de Cinema Escolar de Alvorada – RS Brazil. Kejayaan filem ini dipuji oleh Finas.

Ternyata banyak peluang yang boleh digunakan sekolah luar bandar untuk menonjolkan kebitaraan murid.

Cuma ia bergantung kepada semangat dan iltizam guru sekolah serta sokongan pentadbir dan PIBG dalam memastikan murid ini mampu menonjol dalam bidang yang berbeza.

Contohnya sukan, selain menumpukan permainan bola sepak atau balapan misalnya, anak-anak murid di pesisir mungkin boleh diketengahkan dalam aktiviti sukan kapal layar.

Murid yang menghuni di kawasan bukit boleh diketengahkan dengan sukan lasak, Mountain Bike.

Kesimpulannya, sekolah pedalaman merupakan lubuk bakat hebat yang perlu dicungkil supaya masyarakat luar tahu keberadaan dan keunikan mereka agar dapat dihargai dan diberikan perangsang.

Ini penting agar mereka dapat membina keyakinan diri dan meneroka dunia yang serba mencabar dengan penuh semangat, kesungguhan dan keberanian.

Guru-guru yang berbakat juga hendaklah diberi sokongan supaya dapat terus membimbing murid ini menjadi insan yang akan memiliki pengalaman bermakna dan mampu mengharumkan nama bangsa dan negara.

Manakala guru tetap menjadi lilin yang membakar diri menerangi kejayaan anak anak didiknya. Terima kasih komrad ilmu.