SONG: Projek jalan raya dari Nanga Banjor ke Nanga Makut Fasa Satu dan Nanga Makut ke Nanga Engkuah Fasa Dua yang kini sedang dilaksanakan, dan projek baharu akan menyusul selepas sini.

Adun Katibas Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan berkata, antara pembangunan yang diutamakan selepas siapnya jalan tersebut ialah bekalan air bersih dan elektrik.

Bercakap semasa Majlis Penutupan Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (Agricop) Peringkat Daerah Song di Rumah Selugo, Karangan Rangkang, Katibas beliau berkata, jalan tersebut juga akan menghubungkan penempatan sehingga ke Hulu Katibas.

Dalam pada itu, beliau berharap penduduk tidak perlu percaya dengan dakwaan pembangkang yang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak membawa pembangunan di Dun Katibas.

Pada majlis yang sama beliau turut merasmikan Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares) Rumah Selugo, Rumah Matan dan Rumah Gendang dan juga merasmikan jeti besi Rumah Selugo. Beliau juga telah menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM101,000 kepada 12 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Selugo, Karangan Rangkang.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Edwin Abit serta tetamu jemputan yang lain.