KUCHING: Seorang petani yang mengaku bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya di bawah umur sehingga mangsa mengandung anak luar nikah dikenakan 20 tahun penjara serta 18 sebatan rotan.

Hakim Mahkamah Khas Kanak-kanak Jason Juga mengarahkan lelaki berusia 40 tahun dari Kampung Sibuloh, Bau menjalankan hukuman bermula serta merta.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani sesi rehabilitasi dan kaunseling ketika menjalankan hukuman berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dikenakan 20 tahun penjara serta sembilan sebatan rotan setelah mengaku melakukan sumbang mahram ketika mangsa berusia 13 tahun.

Tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sibuloh, Bau diantara Jan 2019 hingga Disember 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376B(1) akta yang sama. Tertuduh melakukan kesalahan itu di dalam semak berdekatan sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sibuloh, Bau diantara Januari 2020 hingga Oktober 2020.

Menurut fakta kes, pada 24 November lalu, pengadu (mangsa) telah membuat laporan polis di Balai Polis Bau pada jam 12.57 pagi bahawa dia telah dirogol ayah tirinya sejak berada di tingkatan satu.

Tertuduh telah berkahwin dengan ibu pengadu sejak 11 Ogos 2006 dan setelah ibunya berkahwin lain, pengadu telah tinggal dengan datuknya di Kampung Bogag, Bau sehingga berusia 13 tahun.

Kemudian ketika berusia 13 tahun, pengadu pindah dan duduk bersama ibunya dan tertuduh, dan bermulalah peristiwa pahit dalam hidupnya apabila tertuduh mulai menganggu pengadu secara seksual dan mendesak pengadu untuk pindah balik ke rumah datuknya yang berada berdekatan dalam kampung yang sama.

Pada Januari 2019 tertuduh serta keluarganya berpindah ke kampung Sibuloh dan sejak Jan 2019 hingga Oktober 2020, pengadu telah menjadi mangsa buas tertuduh sehingga mangsa mengandung akibat adegan sumbang mahram dilakukan tertuduh.

Pengadu juga memberitahu mahkamah bahawa ada masanya tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadapnya di dalam semak ketika pengadu disuruh mengambil sayur paku.