Hujan emas selepas 110 tahun di SarawakAKHIRNYA, selepas 110 tahun, Sarawak kini menikmati hasil daripada minyak dan gas dari buminya sendiri.

Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang merealisasikan usaha ini.

‘Penyelesaian komersial’ yang ditandatangani pada Isnin lalu telah mengubah landskap penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak dalam industri ini.

Lebih penting ia menjernihkan ‘keruh’ yang berlaku antara kerajaan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), susulan pelaksanaan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) pada 1 Julai 2018, yang diikuti dengan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST); selari dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Kedua-dua pihak telah terlibat dalam suasana yang ‘tidak selesa’ sebelum ini, terutamanya ketika era pentadbiran Pakatan Harapan, hingga terheret di kamar mahkamah.

Petronas pada mulanya mencabar OMO58 sambil berpegang kepada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, kemudian mencabar pula pengenalan cukai SST Sarawak terhadap produk petroleum dan gas di negeri ini.

Namun kedua-dua kes memihak kepada Kerajaan Negeri.

Kemelut ini sebenarnya bermula lebih awal, ketika Pehin Sri Adenan Satem masih menjadi Ketua Menteri.

Ia bermula dengan ketidakpuasan hati pemain industri di Sarawak yang berasakan mereka dianaktirikan oleh Petronas.

Tok Nan dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil serius perkara ini dan mula berunding untuk mencari penyelesaian menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Akhirnya, dalam mesyuarat pada 28 Ogos 2016, tujuh kesepakatan telah dicapai.

Dalam mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Petronas ketika itu, Wan Zulkifli Wan Ariffin, anak Sarawak telah diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Abdul Gani telah diberi kepercayaan mewakili negeri Sarawak.

Secara kebetulan,Morshidi pernah bertugas dengan Petronas.

Kedua, sejumlah 192 kekosongan jawatan di Petronas diiklankan dalam akhbar tempatan di Sarawak untuk diisi oleh anak tempatan.

Pada masa yang sama, Petronas menerusi Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak akan membuka kuota pengambilannya kepada sehingga 50 anak Sarawak.

Petronas juga berikrar mendaftarkan lebih banyak anak Sarawak di pusat latihan miliknya di seluruh negara.

Selain itu, menerusi rundingan tersebut, Petronas turut menunjukkan komitmennya untuk menyokong sekurang-kurangnya dua industri petrokimia dan hiliran lain sambil mempertimbangkan hasrat Kerajaan Sarawak untuk turut serta dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) agar negeri Sarawak dapat memanfaatkan kontrak tersebut.

Petronas juga bersetuju untuk merekrut lebih banyak kakitangan dari Sarawak – daripada peringkat non-eksekutif ke peringkat pengurusan untuk bekerja di negeri ini.

Ini termasuk kakitangan di peringkat pengurusan yang ketika itu hanya 33 peratus kepada 60 peratus dan eksekutif daripada 48 peratus kepada 75 peratus.

Ketika itu, terdapat 5,190 kakitangan Petronas sedang bertugas di negeri ini, dengan 3,880 daripadanya anak Sarawak, manakala lebih 1,000 anak Sarawak yang lain bertugas untuk Petronas di seluruh dunia.

Apa yang berlaku pada 7 Disember lalu seharusnya dibaca sebagai susulan usaha ini.

Lebih menarik, ia berusaha dan berjaya menyelesaikan isu pengurusan minyak dan gas di negeri itu; yang memerlukan “jiwa besar” dan “fikiran terbuka” semua pihak terlibat.

Penyelesaian ini tidak akan dicapai jika mereka pihak berpegang teguh kepada ego dan tafsiran undang-undang masingmasing yang mahukan keuntungannya dinikmati satu pihak sahaja.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undangundang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang ditemui penulis semalam mengakui perkara ini.

Malah beliau menyifatkan Perjanjian Penyelesaian Komersial ini sebagai kejayaan besar dan bersejarah.

Ini kerana inti pati perjanjian tersebut menambah baik dan memuktamadkan persetujuan Petronas dan Kerajaan Sarawak untuk menyerahkan hak untuk mengawal, mengurus dan menjalankan semua operasi perlombongan minyak di daratan di negeri ini kepada Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Sarawak juga diberikan ekuiti untuk terlibat sama dalam operasi cari gali minyak dan gas di laut atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

Selain itu ia juga dibenarkan membuat pelaburan dan meningkatkan ekuiti dalam Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) Sdn Bhd dan MLNG 2 Sdn Bhd sehingga 25 peratus.

Perjanjian ini turut memberi kuasa kepada Sarawak untuk membentuk dan melaksanakan satu pelan induk gas yang komprehensif untuk digunakan di negeri ini.

Manakala anak-anak Sarawak dan juga syarikat-syarikat negeri Sarawak akan terus diberi ruang melalui program-program vendor Petronas dan PETROS akan terus terlibat sama dalam semua perniagaan minyak dan gas di negeri ini, seperti yang dipersetujui.

Hasidah yakin, Sarawak menikmati banyak kelebihan daripada persetujuan ini.

Sumber pendapatan Sarawak akan terus meningkat berkali ganda, malah ia menjadi katalis kepada negeri ini untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi pada 2030.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula bersetuju kesepakatan ini akan merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak dan membuka pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri yang berkaitan di negeri ini.

Persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum pula katanya, akan membolehkan Kerajaan Negeri memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.

Pada masa yang sama, Petronas jelas Perdana Menteri lagi, akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

Memetik kata Hasidah, kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa kebijaksanaan dan kesungguhan pemimpin-pemimpin Sarawak.

Beliau menegaskan, kedua-dua Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg harus diberikan kredit atas kejayaan ini.

Selepas RM2.95 bilion untuk SST pada 2019, penyelesaian ini dijangka membawa jumlah yang lebih besar kepada Sarawak pada tahun-tahun akan datang.

Jangan lupa hasil yang diperoleh daripada cukai lima peratus dan pelaburan ekuiti dalam MLNG1 dan MLNG2, selain penyertaan dalam industri huluan dan hiliran.

Tidak mustahil sektor ini akan menyumbang kepada lebih RM6 bilion untuk negeri ini, terutama ketika ekonomi dunia kembali pulih.

Ini kejayaan besar. Ia umpama awan emas yang menurunkan hujannya di Bumi Kenyalang.

Dan rakyat perlunya melihatnya dengan hati terbuka. Ini bukan mainan politik kerana ia bukan janji retorik.

Ini realiti dan kita harus berterima kasih kepada pemimpin dan kerajaan yang memerintah.

Sekurang-kurangnya negeri ini tidak akan miskin dan putih mata lagi.

Dan, yang paling penting, tidak digula-gulakan janji dan mimpi di siang hari.