KUCHING: Masyarakat digalakkan untuk lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti sumbangan dan derma kepada mereka yang memerlukan di negeri ini khususnya mereka yang kehilangan pendapatan susulan daripada penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kita perlu berasa bersyukur kerana tinggal dalam kelompok masyarakat, negeri dan negara yang masih mempunyai masyarakat yang mahu memberikan bantuan kepada orang lain.

“Walaupun tidak saling mengenali antara satu sama lain, namun masih ada masyarakat yang berhati mulia yang mahu menderma semasa pandemik Covid-19 ini.

“Ada yang dapat membantu dengan jumlah yang banyak, dan ada yang memberikan sedikit tetapi masih mampu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ziarah Keluarga yang dianjurkan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan kerjasama Food Aid Kuching di Kampung Selipar Putus di sini, hari ini.

Katanya, ini adalah hasrat kerajaan supaya rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan atau dalam keadaan susah boleh diberi bantuan sewajarnya sama ada oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Fatimah menambah, melalui program itu mereka dapat mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat selain menyalurkan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita juga mengambil kesempatan untuk melawat beberapa buah rumah untuk mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan bagi tempoh jangka masa panjang selain daripada bantuan makanan.

“Apabila kita turun padang dan melihat sendiri masalah yang mereka hadapi, kita dapat memberikan nasihat, meminta agensi tertentu untuk membantu kerana ada di antara mereka yang tidak tahu terdapat bantuan yang diberikan dan bagaimana mereka hendak mendapatkan bantuan itu,” jelasnya.

Terdahulu, Fatimah bersama rombongan JWKS turut menziarah penduduk di Flat MBKS sebelum meneruskan program ke Kampung Selipar Putus, dan seterusnya ke Kampung Kudei dan Flat Sri Wangi.

Fatimah mendedahkan, setakat ini Food Aid Kuching telah membantu meringankan beban 1,700 keluarga yang terdiri daripada kumpulan miskin seperti mereka yang mempunyai banyak tanggungan, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebagainya.