KUCHING: Sarawak sedang melihat untuk meneroka Beting Serupai (James Shoal) di Bintulu, yang dipercayai mempunyai hasil minyak sebanyak 93 bilion tong (barrel).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata buat masa ini, perkara itu sedang dalam kajian memandangkan penemuan mengenai potensi beting berkenaan adalah dibuat oleh saintis luar negara, yang diterbitkan dalam sebuah buku.

“James Shoal adalah kawasan yang mempunyai potensi hasil bumi, para saintis telah mengkajinya.

“Sama ada sudah diteroka atau belum, mungkin ada…saya tidak tahu dan tidak ada maklumat lanjut, saya cuma baca dari buku.

“Jadi kita tengok keadaan dulu (untuk meneroka Beting Serupai),” katanya ketika ditemu-bual selepas menyempurnakan pelancaran Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak di sini, hari ini.

Beting Serupai merupakan sebuah beting di Laut China Selatan dengan kedalaman 22 meter (72 kaki).

Di kawasan perairan Beting Serupai mempunyai telaga-telaga petroleum milikan Malaysia.

Beting ini terletak 80 kilometer (50 batu) dari barat laut Bintulu dan 1,800 kilometer dari tanah besar China.

Secara geografi, ia terletak di atas pelantar benua Borneo.