ADA PIHAK MENGKRITIK PERJANJIAN KOMERSIAL SARAWAK-PETRONAS TIDAK MENGUNTUNGKAN

KUCHING: Perjanjian Komersial antara Petronas dengan Kerajaan Sarawak tidak harus dipersoal dan biarlah masa menentukan segala-galanya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, perkara sedemikian sepatutnya tidak perlu dipersoalkan kerana Sarawak mempunyai hak ke atas minyak dan gas yang diterokai di negeri ini.

“Biar masa yang menentukan sama ada dakwaan pengkritik itu betul atau sebaliknya,” katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Adun Batu Lintang See Chee How yang mendakwa Perjanjian Komersial antara Petronas dengan Kerajaan Sarawak pada Isnin lalu tidak menguntungkan rakyat negeri ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Ulang Tahun Ke-10 Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY ) di sini, semalam.

Pada Isnin lalu, perjanjian penyelesaian komersial yang ditandatangani di ibu kota itu membuka lembaran baharu yang merancakkan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

Perjanjian bersejarah itu disaksikan oleh Abang Johari sendiri dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.